Agama Islam Dalam Perlembagaan Malaysia

Islam adalah agama rasmi Malaysia. Ini diperuntukkan di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

’Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan…’.

Namun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. (Perkara 3(1)).

Agama Islam merupakan agama rasmi bagi penduduk-penduduk di Semenanjung Malaysia atau Tanah Melayu semenjak abad ke 13 lagi. Pada masa itu, agama Islam bukan sahaja diterima dalam bentuk ibadat tetapi dalam bentuk undang-undang negeri. Ini boleh dilihat di dalam Hukum Qanun Melaka, Qanun Laut Melaka, Qanun Pahang, Undang-undang Johore, Undang-undang Riau, Undang-undang Kedah, Undang-undang Lima Fasal Riau, Undang-undang Sembilan Puloh Sembilan Perak dan sebagainya yang berkuatkuasa di negeri-negeri di Tanah Melayu. Undang-undang ini melibatkan undang-undang jenayah, pentadbiran, perdagangan (muamalat), perwarisan, undang-undang keluarga dan sebagainya.

Walaupun setelah kedatangan kuasa-kuasa barat – Portugis, Belanda dan Inggeris, undang-undang Islam ini masih lagi diamalkan oleh penduduk-penduduk tempatan. Ini dinyatakan sendiri oleh Hakim Thorne dalam kes Ramah lwn Laton dan Syaikh Abdul Latif lwn Ilyas Bux.

Walau bagaimanapun, undang-undang Islam telah digantikan dengan undang-undang Inggeris melalui First Charter of Justice 1807, Second Charter of Justice 1826 dan Third Charter of Justice 1837 di negeri-negeri Melayu. Seterusnya dicengkam kuat dengan Civil Law Enactment, Civil Law Ordinance dan Civil Law Act. Ini dapat dilakukan melalui peranan yang dimainkan oleh penasihat-penasihat/residen-residen Inggeris di dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.

Persoalan yang boleh ditimbulkan adalah: Bagaimana hal perkara ini boleh berlaku?

a)          Adakah Sultan-sultan dan Pembesar-pembesar Melayu telah ditekan oleh pihak penjajah bagi melaksanakan undang-undang Inggeris, sebagai balasan kedudukan dan kepentingan mereka dijamin dan diiktiraf oleh Inggeris? Atau,

b)         Adakah pentadbiran undang-undang Islam yang tersedia ada ketika itu di tanah Melayu tidak efisien dan tidak ’semaju’ undang-undang Inggeris sehingga memungkinkan ianya perlu diganti dengan undang-undang Inggeris? Atau,

c)          Adakah pada masa itu tiada pentadbir-pentadbir dan pembesar-pembesar Melayu, ulama-ulama dan pemikir-pemikir Islam yang berupaya untuk ‘berjuang’ bagi melindungi kedudukan undang-undang Islam daripada digantikan oleh undang-undang Inggeris? Atau,

d)       Adakah pada masa itu di Tanah Melayu tiada atau kekurangan pakar-pakar dalam undang-undang Islam bagi melaksanakan pentadbiran undang-undang Islam dan memajukannya? Atau,

e)          Adakah tujuan sebenar Inggeris datang ke Tanah Melayu untuk mengubah undang-undang Islam, dan seboleh mungkin menguasai ekonomi dan politik Tanah Melayu bagi kepentingan dan hegemoni mereka berdasarkan prinsip ’God, Gold, Glory’?

Setakat ini, pada hemat saya, tidak ada penyelidikan-penyelidikan dan sumber-sumber khusus yang boleh menjawab persoalan-persoalan akademik di atas.

Menurut Perlembagaan, semua rakyat Malaysia berhak memilih mana-mana agama yang mereka sukai. Ini dinyatakan dalam Perkara 11 (1). Perkara ini juga ditekankan dalam Perkara 12(3), yang berbunyi: ’Tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa ugama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu ugama yang lain daripada agamanya sendiri’.

Namun begitu, Perkara 11(3) Perlembagaan, memberi hak kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain ke atas orang-orang Islam.

Selanjutnya kebebasan agama ini tertakluk, menurut Perkara 11(5), kepada undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 belas tahun, agamanya ditentukan oleh ibubapa atau penjaganya. Ini dinyatakan di dalam Perkara 12(4).

Suatu persoalan boleh diutarakan menurut peruntukan-peruntukan di atas, iaitu:

a)      Apakah yang dimaksudkan dengan ’agama persekutuan’ ini? Dan,

b)  Adakah maksud ’agama’ di sini melibatkan juga undang-undang, dasar, pembangunan dan pentadbiran di Malaysia mesti tertakluk kepada ajaran-ajaran agama Islam?

Kebanyakan undang-undang di Malaysia adalah undang-undang sekular. Undang-undang tersebut pada asasnya adalah undang-undang Inggeris. Ini dinyatakan secara jelas dalam Akta Undang-undang Sivil 1956 dan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang Islam menurut peruntukan Perlembagaan hanya bertumpu kepada soal undang-undang personal (seperti perkahwinan, perceraian, wakaf, zakat, pengurusan masjid, baitul-mal dan perwarisan) sebagaimana yang dinyatakan di dalam Senarai II (1) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan enakmen-enakmen pentadbiran undang-undang Islam negeri-negeri. Seterusnya undang-undang Islam ini hanya dikuatkuasakan oleh negeri-negeri di Persekutuan. Hanya negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa dalam menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam itu menurut enakmen-enakmen pentadbiran agama Islam masing-masing. Namun bidang kuasa Negeri dan Mahkamah Syariah negeri-negeri tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan (Senarai I, Senarai Persekutuan) dan undang-undang persekutuan yang lain.

Menurut Suruhanjaya Reid (Report of the Federation of Malaya Constitutional Comission, London, Her Majesty’s Statitonery Office, 1957 No. 330 or the Reid Commission Report) mengenai agama Islam:

’…The observation of this principle shall not impose any liability on non-Muslim natives professing and practising their religions and shall not imply that the State is not a secular State…’(emphasis added).

Begitu juga dengan kenyataan daripada Hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid mengenai ‘Islam as a State Religion’, di mana kata beliau, pada perenggan 11:

‘It has been recommended by the Alliance that the Commission should contain a provision declaring Islam to be the religion of the State. It was also recommended that it should be made clear in that provision that a declaration to the above effect… will not prevent the State from being a secular State…’(emphasis added).

Jelas berdasarkan kenyataan di atas, fungsi agama Islam hanyalah sebagai agama rasmi Persekutuan. Fungsinya tidak akan menidakkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular.

Sekali lagi pemahaman di atas telah diikat lagi menurut saranan Kertas Putih (White Paper) iaitu:

‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’(emphasis added).

Seterusnya, pernyataan-pernyataan di atas telah diperkuatkan dalam Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988] 2 MLJ 55. Di dalam kes ini, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa undang-undang Islam hanya terpakai untuk perkara-perkara mengenai perkahwinan, perceraian dan perwarisan untuk orang-orang Islam sahaja. Dengan perkataan lain, agama Islam hanyalah wujud sebagai suatu ‘majlis penting’ (ceremonial significance) sahaja, tidak melibatkan pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di dalam pentadbiran negara. Mahkamah Agung juga memutuskan bahawa apabila negara telah mencapai Kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 162, menegaskan untuk meneruskan pemakaian undang-undang sekular sebagaimana yang telah diamalkan sebelum penguatkuasaan Perlembagaan.

Namun begitu, selepas Che Omar, selepas 12 tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan di dalam kes Meor Atiqulrahman bin Ishak & Lain-lain lwn Fatimah bte Sihi & Lain-lain [2000] 5 MLJ 375, memutuskan bahawa agama Islam adalah ‘suatu cara hidup yang sempurna’ (a complete way of life)

Lanjutan daripada maksud radikal yang diputuskan dalam Meor Atiqulrahman, timbul beberapa persoalan baru.

a)      Sama ada niat yang telah dicetuskan dalam Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih mengenai Perkara 3 melibatkan maksud agama Islam sebagai ‘agama rasmi’ Persekutuan dan tidak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah ditolak?

b)      Sekiranya niat atau maksud yang dinyatakan dalam Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih itu telah ditolak, bolehkah maksud baru (iaitu agama Islam adalah ‘suatu cara hidup yang sempurna’) yang dicanangkan di dalam Meor Atiqulrahman diguna pakai?

c)      Tidakkah dengan penolakan maksud yang diniatkan oleh Suruhanjaya Reid dalam Meor Atiqulrahman itu telah melanggar Perlembagaan itu sendiri sebagaimana yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Reid and Kertas Putih itu?

d)     Bolehkah Malaysia bertitik tolak daripada keputusan Meor Atiqulrahman melaksanakan agama Islam ini dalam ertinya yang sebenar iaitu sebagai ‘suatu cara hidup yang sempurna’ termasuk melaksanakan undang-undang Islam?

Sebenarnya pihak Inggeris telah separuh berjaya dalam misi mereka untuk menjadikan Tanah Melayu atau Malaysia sebagai bukan sebuah negara Islam atau dengan perkataan lain sebuah negara sekular. Untuk menyalahkan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu juga tidak tepat. Ini adalah kerana syarat-syarat yang ditetapkan oleh Inggeris perlu dipenuhi. Sekiranya tidak, Inggeris mungkin tidak akan memberikan kemerdekaan kepada kita. Mendapatkan kemerdekaan amatlah penting, supaya apabila Merdeka, rakyat Malaysia sendiri yang akan mengurus, mentadbir dan membangunkan negera berdasarkan nilai dan keperluan tempatan. Pada hari ini rekod menyaksikan negara kita Malaysia telah mengecapi pelbagai kejayaan dalam lapangan-lapangan kehidupan, baik daripada segi ekonomi, pendidikan, sosial dan pembangunan. Kejayaan ini mungkin tidak dapat dicapai sekiranya negara kita masih lagi di dalam cengkaman penjajahan dengan masalah rakyat yang tidak bersatu, tidak berkompromi dan saling bermusuhan serta berselisih pandangan dalam menentukan syarat-syarat kemerdekaan. Dalam hal ini, berdasarkan fakta ketika itu dan berdasarkan alasan ’on the balance of probability’ dan maslahah ammah (kepentingan umum) tindakan berkompromi pejuang-pejuang kemerdekaan untuk mendapatkan kemerdekaan tertakluk kepada syarat-syarat Inggeris, adalah tepat. Boleh juga dihujahkan bahawa fakta ini semacam fakta yang berlaku dalam perjanjian Hudaybiah dahulu antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir Quraish Mekah.

Mungkin juga terdapat pandangan bahawa negara Malaysia bukan sebuah negara Islam kerana kedudukan Islam hanyalah sebagai ’agama rasmi’ dan bukan bermaksud merangkumi keseluruhan kehidupan termasuk undang-undang. Ini dapat dibuktikan melalui peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Negara, contohnya Perkara 3(1), (4), Perkara 4, Senarai I (4) (Senarai Persekutuan) dan Senarai II (1) Jadual kesembilan (Senarai Negeri) daripada Perlembagaan Persekutuan, dan peruntukan-peruntukan di dalam Akta Sivil 1965 (khususnya seksyen 3 dan 5). Dengan perkataan lain, kedudukan agama Islam di Malaysia masih lagi tidak jelas dan kabur, atau ’separuh Islam’, separuh lagi ’tidak Islam (sekular)’. Seterusnya tiada ketegasan politik dan kekurangan political will dalam soal ini terus membelenggui maksud ’agama rasmi’ itu. Pandangan ini ada benarnya.

Kita seharusnya berfikiran positif dalam menafsirkan maksud ’agama rasmi’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Memang benar menurut Suruhanjaya Reid, Kertas Putih dan Che Omar, ’agama rasmi’ ini hanya berbentuk ritual dan tidak merangkumi keseluruhan ’cara hidup’ termasuk undang-undang, dasar-dasar kerajaan dan pentadbiran negara. Namun begitu, selepas 12 tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan (Mahkamah tertinggi di Malaysia) di dalam Meor Atiqulrahman, mengambil pendekatan berbeza, iaitu agama Islam itu bermaksud ’a way of life’. Ini juga boleh dihujahkan, undang-undang di Malaysia perlu juga berlandaskan kepada ajaran-ajaran Islam. Dengan lain perkataan, pendekatan ini dalam Meor Atiqulrahman akan membuka ruang yang lebih luas kepada agama Islam untuk diamalkan bukan setakat amalan ritual, malahan dalam ruang lingkup yang lebih luas lagi, termasuk undang-undang.

Secara alternatifnya, kita perlu menggunakan pendekatan terbaru ini secara optimum dalam membangunkan agama Islam dan umat Islam di Malaysia. Ini juga merupakan pendirian al-Marhum Profesor Emeritus Ahmad Ibrahim.

Selanjutnya pada saya, sebagaimana undang-undang, Perlembagaan Negara juga adalah suatu ’living document’. Maksudnya, walaupun peruntukan-peruntukan Perlembagaan merupakan suatu undang-undang asas Negara, namun ianya boleh diubah dan disesuaikan menurut keperluan dan kehendak tempatan. Ia bergantung kepada kehendak dan keinginan rakyat Malaysia amnya dalam mencorak dan membentuk sesuatu peruntukan itu. Justeru, selepas 52 tahun Merdeka, terdapat pelbagai penggubalan undang-undang melibatkan Perlembagaan Persekutuan bagi menyesuaikan dengan keperluan-keperluan tempatan. Sebagai contohnya, penubuhan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perkara 121 (1A) dan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Sivil yang bukan hanya tertakluk kepada peruntukan undang-undang, malahan bergantung kepada peruntukan-peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008.

Perlu diketahui bahawa pemakaian undang-undang Inggeris hanya setakat ianya tidak berlawanan dengan keperluan tempatan. Sekiranya, menurut keperluan tempatan dan selagi dibenarkan oleh penduduk tempatan, sesuatu undang-undang Inggeris itu tidak terpakai dan tidak sesuai, kita boleh menggunakan undang-undang lain termasuk undang-undang Islam. Ini dinyatakan dengan jelas menurut proviso seksyen 3(c) Akta Undang-undang Sivil 1956.

Melihat kepada perkembangan agama Islam sejak negara kita mencapai kemerdekaan, pembangunan agama Islam dan umat Islam berlaku amat pesat sekali. Ini amat membanggakan, berbanding dengan kedudukan agama Islam dan umat Islam sebelum Merdeka. Kejayaan ini bukan datang menggolek, malahan kejayaan ini merupakan hasil berkat perjuangan keras orang-orang terdahulu, khususnya mereka yang terlibat dalam mencapai Kemerdekaan daripada Inggeris dan berhimpus-pulas menyediakan tapak baru untuk suatu negara yang baru Merdeka. Merekalah yang merupakan pembuat-pembuat dasar dan pelaksana-pelaksananya, sehingga hasilnya kita nikmati kini. Ini termasuk meletakkan agama Islam itu sebagai agama rasmi Persekutuan. Sebagai status agama rasmi, Islam diletakkan dalam kedudukan yang istimewa.

Secara ringkas, ingin saya jelaskan beberapa fakta penting mengenai agama Islam dan kesannya yang diletakkan dalam kedudukan ’istimewa’ ini.

1)         Kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara telah memberikan pelbagai bentuk keistimewaan kepada agama dan umat Islam untuk kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai kemajuan Islam;

2)         Kerajaan telah meninggikan martabat Islam dengan melantik seorang Menteri penuh di Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan tanggungjawab berhubung hal ehwal Islam;

3)         Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Undang-undang Syariah dan Sivil. Jawatankuasa ini memantau perundangan Negara, jika ada undang-undang sivil atau peraturan yang bertentangan dengan syariah, maka undang-undang sivil atau peraturan itu akan dibatalkan;

4)         Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan seorang Ketua Pengarahnya telah ditubuhkan;

5)          Mahkamah Syariah pula diwujudkan di tiga peringkat iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Kedudukan Mahkamah Syariah telah dijamin dalam sistem perundangan Negara menurut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuanl

6)         Jaminan dalam Perlembagaan mengenai pengeculian undang-undang Islam daripada tertakluk kepada undang-undang darurat menurut Perkara 150 (6A) Perlembagaan Persekutuan;

7)         Yang di Pertuan Agong, Raja dan Sultan adalah ketua agama Islam. Dalam menjalankan tugas baginda sebagai ketua agama Islam, baginda mempunyai budi bicara dan tidak terikat dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO);

8)         Menurut Perkara 153 (1) adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agong untuk melindungi hak istimewa orang-orang Melayu. Disebabkan ’Melayu’ dan ’Islam’ ialah dua entiti yang tidak boleh dipisahkan menurut Pelembagaan, maka tugas menjaga hak-hak istimewa orang-orang Melayu juga termasuk melindungi agama Islam itu sendiri. Begitu jugalah hal keadaannya mengenai Sumpah Bagi Yang di Pertuan Agong bagi memelihara agama Islam;

9)         Kerajaan telah meninggikan syiar Islam dengan melaksanakan penerapan nilai-nilai Islam dalam semua bidang kehidupan sejak Merdeka. Antaranya ialah:

a)             Tilawah al-Quran yang mendapat sambutan baik dari seluruh dunia, kini menjadi acara tahunan dalam kalendar rasmi negara;

b)            Akta Pelajaran 1961 menetapkan subjek Agama Islam mesti dimasukkan ke dalam jadual waktu pelajaran biasa bagi murid-murid beragama Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan selama 120 minit seminggu. Guru-guru agama juga dilantik bagi mengajar subjek itu;

c)             Silibus subjek agama Islam bagi sekolah rendah dari Tahun 1 hingga Tahun 6 mengandungi bab aqidah, ibadat, akhlak, sejarah rasul dan bacaan al-Quran;

d)            Bagi sekolah menengah pula (Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6), silibus subjek agama Islam meliputi Tauhid, Fiqah, Sejarah Islam, ayat al-Quran dan Hadis.

e)             Minuman arak dilarang dalam majlis-majlis rasmi dan jamuan negara dan juga di mes-mes pegawai polis dan tentera.

f)             Penubuhan kelas-kelas KAFA dan Fardu Ain kepada pelajar-pelajar sekolah.

g)            Sokongan kerajaan atas program-program keagamaan sebagai contoh Maal Hijrah, Maulid Nabi, cuti untuk hari-hari kebesaran Islam misalnya Hari Nuzul al-Quran dan Awal Ramadan.

Langkah-langkah kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai program kemajuan hal ehwal Islam telah memberi manfaat yang besar kepada masyarakat Islam dan meneguhkan lagi pegangan mereka kepada agama. Kedudukan Islam sebagai ’agama rasmi’ ini juga telah membolehkan Kerajaan Persekutuan menggunakan wang dari Kumpulan Wang Persekutuan Disatukan (Federal Consolidated Fund) pada peringkat Persekutuan dan Negeri untuk tujuan membiayai perkembangan agama Islam. Ini terbukti apabila kerajaan telah mewujudkan beberapa institusi Islam seperti penubuhan pusat pendidikan Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Islam (M) Berhad, Sistem Insurans Islam (Takaful), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan sebagainya termasuk institusi-institusi/agensi-agensi Islam negeri-negeri dan badan-badan swasta serta badan-badan sukarela (NGOs). Semuanya ini bertujuan mengembangkan syiar Islam dan sekaligus membangunkan umat Islam dalam segala aspek kehidupan harian.

Ingin saya juga tekankan bahawa walaupun kedudukan agama Islam ini adalah ’istimewa’ yang mengharuskan mendapat pelbagai layanan ’kelas pertama’ daripada Kerajaan, namun ini tidak menjejaskan sedikit pun akan kebebasan melaksanakan agama-agama lain oleh penganut-penganutnya. Jelas benar, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dihayati sepenuhnya oleh masyarakat dan kerajaan kita.

Sebagai mengakhiri tulisan ini, pada pandangan saya, bagi melaksanakan agama Islam sepenuhnya di negara kita, termasuk menjalankan undang-undang Islam, bukan hanya setakat peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diubah, tetapi yang paling penting adalah keazaman politik (political will) dan kesedaran masyarakat/ummat Islam di Malaysia tentang peri pentingnya mengamalkan ajaran Islam perlu diwujudkan dan pergiatkan bagi melaksanakan program-program dan projek-projek besar Islam yang bersesuaian dengan kehendak-kehendak Islam itu sendiri.

Justeru, perjuangan bagi memartabatkan agama Islam masih lagi terus berlangsung, belum berakhir. Perjuangan ini perlu lagi diteruskan. Perjuangan ini memerlukan kader-kader baru, pentadbir-pentadbir, pejuang-pejuang, pemikir-pemikir dan pekerja-pekerja baru bagi mengisi kemerdekaan dan melaksanakan agama Islam, dakwah Islam, pemahaman Islam dan program-program keislaman di segenap pelusuk lapangan kehidupan, termasuk undang-undang, di Malaysia.

2 responses to “Agama Islam Dalam Perlembagaan Malaysia

  1. Satu penghuraian yang jelas dan baik mengenai peruntukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Semoga dapat memperjelas kekeliruan dalam tafsiran Islam sebgai agama rasmi Malaysia.

  2. great job..! mbantu sy utk tutor nex wik..thankss a lot..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s