ISU PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MENGGANTIKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI TAHUN 1960 (ISA), AKTA-AKTA PENGISYTIHARAN DARURAT, AKTA BUANG NEGERI 1959 (SEMAKAN 1972) DAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 – Bahagian Satu

Sebagaimana yang kita telah ketahui baru-baru ini Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengisytiharkan bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Internal Security Act 1960) (selepas ini disebut ‘ISA’), Akta-akta Pengisytiharan Darurat, Akta Buang Negeri 1959 (Semakan 1972) (Banishment Act 1959 (revised 1972) dan Akta Kediaman Terhad 1933 (Restricted Residence Act 1933) (selepas ini akta-akta ini selain ISA disebut sebagai ’akta-akta berkaitan’). Antara alasan mengapa ISA dan akta-akta berkaitan itu perlu dimansuhkan adalah berikut:

1) Negara telah mencapai kualiti pembangunan yang memberangsangkan;

2) Rakyat rata-rata telah berpelajaran dan mendapat pendidikan;

3) Sistem perundangan yang mendokong aspek hak-hak asasi manusia.

Sekiranya akta-akta ini yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai draconian dan arbitrary ini dimansuhkan, Malaysia boleh dianggap sebagai jaguh yang jauh terkehadapan dalam menangani isu-isu hak asasi manusia dan lebih bersifat demokratik berparlimen, melebihi standard sesetengah negara maju yang lain seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.

Namun begitu, kekuatiran dan kegusaran pada hemat penulis adalah sekiranya ISA dan akta-akta berkaitan ini dimansuhkan, keselamatan negara berkemungkinan mudah tergugat. Undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan berkemungkinan tidak berupaya untuk menangani isu-isu keselamatan dan mungkin ’lambat’ untuk secara berkesan menangkis segala gejala-gejala yang memudaratkan keselamatan negara dan rakyat awam. Suara-suara yang membangkitkan usul supaya ISA dihapuskan mungkin tidak berpijak pada bumi yang nyata. Mereka berkemungkinan hanya bersuara agar kerajaan menghapuskan ISA atas dasar kepentingan politik dan sekadar menangguk di air yang keruh. Ditakuti juga terdapat kumpulan-kumpulan yang berniat jahat bagi menimbulkan huru-hara terhadap keselamatan negara akan mula beroperasi serta mengatur langkah-langkah bagi menjalankan dakyah-dakyah kotor, perancangan-perancangan ganas dan operasi-operasi jahat mereka bagi menggugat keselamatan negara lantaran ISA dan akta-akta berkaitan dimansuhkan.

Justeru, pada hemat penulis, pemansuhan ISA dan akta-akta berkaitan adalah tidak tepat. ISA dan akta-akta berkaitan tersebut adalah senjata terbaik bagi menangani isu-isu keselamatan negara secara berkesan. Apa yang perlu adalah meminda beberapa peruntukan yang terdapat di dalam ISA dan akta-akta berkaitan yang dilihat boleh memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak eksekutif dan polis. Pada pandangan penulis, definisi ’menggugat/mengancam keselematan negara’ (threat to national security) perlu diperhalusi dengan menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang didefinisikan sebagai ‘menggugat/mengancam keselamatan negara’. Selain itu aspek tenaga manusia, aspek pengurusan dan pelaksanaan undang-undang keselamatan, aspek logistik pentadbiran dalam melaksanakan undang-undang, aspek kecukupan tenaga manusia yang berdisiplin, terlatih dan berdedikasi dan aspek penyeragaman dan koordinasi antara agensi-agensi dan badan-badan yang melaksanakan fungsi dan kuasa menjaga keselamatan perlu juga diperhalusi, dirombak, diperbaiki dan diberikan nilai tambah, agar benar-benar cekap dan efisien dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara sehingga memungkinkan keselamatan negara sentiasa terpelihara dan hak-hak asasi manusia terus dihormati. Selain itu, dalam menjalankan keputusan, Menteri Dalam Negeri hendaklah mendapatkan nasihat daripada majlis penasihat yang terdiri daripada pakar-pakar tertentu sebelum keputusan boleh dibuat untuk mengenakan tahanan ISA terhadap seseorang.

Sebenarnya, ISA ini telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1960 dahulu untuk menangkis dan menangani ancaman komunis (communist insurgency). Namun pada tahun-tahun terkemudian, ISA digunakan untuk menangkap mereka yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti politik, persatuan dan organisasi-organisasi bukan kerajaan bagi menyalurkan kefahaman mereka kepada orang ramai tentang idealisme mereka agar kerajaan tunduk dan menerima apa yang mereka hajati. Secara tidak langsung tindakan bersuara mereka di persada tanah air dan antarabangsa yang dipercayai boleh dan telah membangkitkan suatu gelombang gerakan awam untuk menyokong gagasan dan wawasan mereka sama ada secara fizikal atau secara perdebatan mulut, media dan siber yang boleh pada anggapan pihak polis dan eksekutif menimbulkan ’ancaman dan ugutan terhadap keselamatan negara’ (instigations, provocations and tensions). Contoh yang jelas adalah peristiwa 13 Mei 1969 (melibatkan persengketaan kaum), penyebaran ajaran-ajaran sesat (melibatkan kefahaman agama Islam yang salah), pergerakan al-Arqam (melibatkan kefahaman agama Islam yang salah), penahanan Mohd. Ezam Mohd Noor (melibatkan isu dan politik Anwar Ibrahim) dan peristiwa Memali (melibatkan gerakan politik dan bersenjata).

Mereka-mereka yang dianggap terlibat dalam aktiviti-aktiviti di atas disumbatkan ke dalam tahanan penjara selama beberapa tempoh bagi meredakan ’kehangatan’ dan ’revolusi’ yang mereka pelopori dan agar keadaan persekitaran hasil daripada aktiviti-aktiviti mereka menjadi lebih tenteram dan terkawal. Di dalam penjara, menurut rekod dan maklumat, terdapat tahanan-tahanan yang telah di brainwashed oleh pihak polis dan penjara bagi menyedarkan mereka atau memaksa mereka supaya memberhentikan aktiviti-aktiviti yang dianggapkan sebagai ’menggugat/mengancam keselamatan negara’ sebelum ini. Ada juga di kalangan mereka yang dikenakan deraan secara mental dan fizikal yang telah menyebabkan kecacatan dan ilat lahir dan batin kekal, trauma mental, disisih masyarakat dek stigma ISA dan keruntuhan rumah tangga.

One response to “ISU PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MENGGANTIKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI TAHUN 1960 (ISA), AKTA-AKTA PENGISYTIHARAN DARURAT, AKTA BUANG NEGERI 1959 (SEMAKAN 1972) DAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 – Bahagian Satu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s