ISU PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MENGGANTIKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGARI TAHUN 1960, AKTA-AKTA PENGISYTIHARAN DARURAT, AKTA BUANG NEGERI 1959 (SEMAKAN 1972) DAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 – Bahagian Dua

Disebabkan suatu pengumuman rasmi telah dibuat oleh Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pemansuhan ISA dan akta-akta berkaitan, pada pandangan penulis, undang-undang yang akan digubal dan akan menggantikan ISA dan akta-akta ini memberi prioriti ke atas aspek keselamatan negara. Di samping itu, undang-undang itu juga perlu mempunyai elemen-elemen yang mendukung nilai-nilai dan hak-hak asasi manusia (human rights) dan penghormatan terhadap hak-hak ini. Antara hak-hak asasi manusia tersebut adalah:

 1) Hak untuk hidup;

2) Hak untuk bebas daripada deraan;

3) Hak untuk bebas daripada perhambaan;

4) Hak untuk mendapatkan perbicaraan adil;

5) Hak kebebasan bersuara;

6) Hak kebebasan fikiran, kesedaran dan beragama; dan,

7) Hak untuk berdebat.

Undang-undang baru yang dicadangkan ini hendaklah mendefinisikan secara objektif apakah itu ’aktiviti-aktiviti yang mengancam dan menggugat keselamatan negara’. Sekiranya perlu suatu jadual yang jelas hendaklah disediakan di dalam undang-undang itu nanti mengenai aktiviti-aktiviti ini. Pada pandangan penulis terdapat pelbagai jenis aktiviti rakyat seharian boleh jatuh ke dalam maksud dan definisi ’mengancam dan menggugat keselamatan negara’. Ini termasuk aktiviti berpersatuan, aktiviti berteraskan agama dan bukan agama, aktiviti perniagaan, aktiviti politik dan bukan politik dan sebagainya, sekiranya sampai ke tahap atau darjah tertentu boleh juga dianggap sebagai menggugat dan mengancam keselamatan negara. Namun begitu, bagaimana kita hendak mengetahui dan menentukan sesuatu aktiviti itu sudah mencapai darjah tertentu dan lantas terjatuh ke dalam maksud undang-undang ’mengancam dan menggugat keselamatan negara’ dan/atau ’perlakuan keganasan (violence and terrorism acts)? Penulis berharap undang-undang baru yang bakal menggantikan ISA dan akta-akta berkaitan boleh menjawab persoalan-persoalan ini.

Sehubungan dengan itu, cadangan bahawa perlakuan-perlakuan keganasan (violence and terrorism acts) memerlukan akta berasingan sebagaimana yang terpakai di United Kingdom, dialu-alukan. Akta ini dikatakan hanya memerlukan kebenaran Menteri Dalam Negeri (KDN) untuk menentukan bahawa seseorang yang dipercayai melakukan kegiatan keganasan (violence and terrorism acts) akan ditahan untuk tempoh tertentu. Tidak seperti ISA di mana apa sahaja aktiviti yang dianggap sebagai ’mengancam dan menggugat keselamatan negara’ akan dikenakan tahanan (detention), undang-undang dan akta baru yang dicadangkan mengenai keganasan ini, pada hemat penulis, perlu lebih spesifik dan bersifat objektif. Akta baru ini perlu mendefinisikan apakah itu ’perlakuan keganasan’ secara objektif and hendaklah juga tertakluk kepada pemeriksaan Mahkamah dan mendukung hak-hak asasi manusia. Dalam hal ini, praktik dan amalan terbaik (best practices) di kalangan negara-negara yang berjaya dalam menangani isu keganasan seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, India dan Australia perlu dibuat agar akta ini bersifat terkini dan menepati standard antarabangsa.

Bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, penulis berpendapat perlu diwujudkan suatu majlis perundingan dan penasihat dalam menentukan sama ada seseorang itu terlibat di dalam kegiatan keganasan (violence and terrorism acts). Majlis ini perlu terdiri daripada pakar keselamatan, pakar undang-undang, pakar sosiologi, pakar kemasyarakatan, ahli politik dan pakar-pakar lain yang sesuai-manfaat. Apa-apa keputusan perlu dibuat secara muwafakat melalui mesyuarat-mesyuarat. Keahlian, kuasa, fungsi dan tanggungjawab ahli-ahli majlis ini juga perlu dijelaskan di dalam akta baru ini. Majlis ini yang akan menasihati Menteri Dalam Negeri dan polis mengenai tindakan yang sesuai dan patut terhadap pihak-pihak yang dipercayai terlibat dalam perlakuan keganasan (violence and terrorism acts). Nasihat mereka, penulis syorkan, akan mengikat Menteri dan pihak polis.

Di samping itu, undang-undang/akta baru ini hendaklah mempunyai peruntukan-peruntukan yang boleh mengimbangi kepentingan menjaga keselamatan negara dan kepentingan melindungi hak-hak asasi manusia. Ia juga hendaklah menetapkan suatu darjah dan keadaan di mana hak-hak asasi manusia itu boleh dikompromi dan tidak akan dilindungi secara se-objektif dan sebaik mungkin. Ini menjadikan undang-undang itu jelas dan ’fitnah’, ’tohmahan’ atau ’persepsi prejudis’ bahawa kerajaan mengharuskan hak-hak asasi manusia dicabuli bagi menjaga keselamatan dapat dikurangkan dan jika boleh, tiada. Dalam hal ini, Malaysia mungkin menjadi pelopor dan juara dalam melaksanakan idealisme ini, mengatasi negara-negara maju yang lain yang sering menepuk dada bahawa mereka adalah jaguh pembela hak-hak asasi manusia.

Dalam merealiasasikan hasrat murni di atas, ingin penulis tekankan bahawa, Malaysia jangan sesekali terperangkap dengan dakyah-dakyah daripada luar, lebih-lebih lagi daripada negara-negara barat, bahawa Malaysia tidak mengamalkan keluhuran hak asasi manusia. Dakyah-dakyah ini sebahagiannya tidak berpijak pada bumi yang nyata yang hanya berpaksikan prejudis dan berat sebelah serta berupa tuduhan-tuduhan liar tanpa bukti bagi memburukkan imej Malaysia. Bak kata pepatah ’sekadar mungkin ada makhluk yang menahan jerat di pergentingan dan merasakan pekungnya perlu ditutup kerana ada agenda tersembunyi’.

Pada pandangan penulis, ya, Malaysia perlu melaksanakan hak asasi manusia tetapi pelaksanaannya itu juga tertakluk kepada kepentingan keselamatan negara, batas-batas budaya, nilai-nilai nusa bangsa, titik-titik sejarah dan paling penting adalah prinsip-prinsip dalam perlembagaan Malaysia itu sendiri. Jangan sampai, kita terlalu beriya-iya hendak memansuhkan ISA dan akta-akta berkaitan serta menggubalkan undang-undang baru yang kononnya dapat menjaga hak asasi manusia, namun undang-undang dan akta-akta baru ini sebenarnya mengundang malapetaka dan menggugat keselamatan negara, tidak melihat kepentingan bangsa, agama, nilai budaya, nilai masyarakat Malaysia dan perlembagaan itu sendiri, secara holistik.

Ingin penulis suarakan di sini, pihak barat selalu mendendangkan ’hak asasi manusia’ iaitu kebebasan manusia. Namun begitu, bagaimana pula dengan hak-hak Tuhan (God’s Rights’)? Adakah mereka memikirkan perkara ini? Sebagai negara Islam, Malaysia juga perlu sedar hak-hak Tuhan (God’s Rights) juga bukan hanya hak-hak asasi manusia menurut kaca mata barat semata-mata. Di dalam menjalankan kehidupan harian, bukan setakat hak-hak asasi manusia itu penting, hak-hak Tuhan itu kalau tidak lebih penting, sama pentingnya dengan hak-hak asasi manusia dan sekiranya boleh diseimbangkan. Dengan perkataan lain, undang-undang/akta-akta baru itu bukan setakat menekankan hak asasi manusia sebagaimana yang dicanangkan oleh negara barat, tetapi ia hendaklah merupakan sintesis dan hybrid gabungan nilai tempatan, nilai agama, nilai budaya, nilai sejarah dan elemen-elemen keperlembagaan Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s