ISU PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MENGGANTIKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI TAHUN 1960 (ISA), AKTA-AKTA PENGISYTIHARAN DARURAT, AKTA BUANG NEGERI 1959 (SEMAKAN 1972) DAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 – Bahagian Tiga

Pada pandangan penulis, selain rombakan undang-undang, aspek pengurusan, tenaga manusia, logistik pentadbiran, kecekapan pasukan polis dan pasukan keselamatan, badan kehakiman dan perundangan, koordinasi mantap antara badan-badan yang melaksanakan keselamatan dan sebagainya yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang perlu diperbaiki dan diperhalusi agar gabungan ini benar-benar cekap dan efisien yang menatijahkan kecemerlangan dan professionalisme yang cukup tinggi. Sekiranya aspek ini tidak dilestarikan, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang terbaik di dunia sekalipun, berkemungkinan idealisme yang diidam-idamkan itu tidak mungkin tercapai.

Penulis berpandangan, di dalam undang-undang baru yang bakal menggantikan ISAdan akta-akta berkaitan itu perlu juga menghalusi aspek-aspek proses penyiasatan (investigative process).  Pihak polis perlu mempunyai standard operating procedure (’SOP’) yang jelas, terbuka, transparen, objektif, bersifat mesra pelanggan, boleh diperiksa oleh Mahkamah, tidak memberi ruang kepada penyalahgunaan kuasa, serta mematuhi kehendak hak-hak asasi manusia. Mungkin undang-undang/akta-akta baru yang dicadangkan perlu menyenaraikan aktiviti-aktiviti strict liability dan simpton-simpton yang boleh membawa ancaman dan ugutan terhadap keselamatan negara yang sekiranya dilakukan oleh seseorang, polis boleh mengambil tindakan mengekang bagi mengelakkan ianya daripada terus berkembang menjadi lebih besar dan sukar untuk dibendung. Dalam hal ini, aspek mendapatkan maklumat secara risikan (intelligence) mengenai kegiatan-kegiatan ini perlu dilipatkan gandakan. Secara tidak langsung, aspek ini bersifat preventive terhadap aktiviti-aktiviti strict liability berunsurkan keganasan dan mengganggu serta mengancam keselamatan negara ini daripada terus merebak lebih besar lagi.

Sayugia juga dinyatakan bahawa, di samping aspek undang-undang, aspek bukan undang-undang perlu juga ditekankan sekiranya kerajaan benar-benar mahu memastikan keselamatan terkawal dan hak asasi manusia ini terus subur. Secara tidak langsung, nama baik negara terus harum dan mendapat penghormatan dan kepercayaan pentas antarabangsa. Ini juga boleh memberi nilai tambah kepada negara daripada segi kemasukan modal-modal perniagaan dan pelaburan asing dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara.  Aspek yang ingin penulis tekankan di sini adalah aspek pemerkasaan jentera pentadbiran kerajaan, termasuk kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan dan badan-badan kerajaan perlu, secara bersungguh-sungguh, menjalankan keadilan, membangunkan negara dan mengukuhkan jati diri rakyat termasuk juga menyuburkan keadilan sosial, kemudahan-kemudahan awam, penyampaian perkhidmatan yang efisien dan akses kepada pendidikan, keadilan sosial, perhormatan terhadap maruah dan kehormatan rakyat awam dan menitik-beratkan soal-soal kebajikan rakyat. Dengan perkataan lain, pemimpin-pemimpan dalam kerajaan perlu menjadi pelopor dan pemimpin dalam soal keikhlasan, kejujuran dan integriti sehingga membawa kepada kepercayaan, penghormatan dan malu-alah masyarakat terhadap mereka dan lantas dapat mengurangkan perasaan ’tidak berpuashati’ rakyat yang membawa kepada protes dan bangkangan. Justeru, aspek bukan undang-undang ini tidak juga kurang pentingnya dalam menangani isu-isu keselamatan.  Sekiranya rakyat berpuas hati, gembira, mempunyai rasa good feeling terhadap kerajaan dan percaya dengan kewibawaan kerajaan dan jenteranya, faham dengan dasar-dasar dan  berpuas hati dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan, penulis berpendapat, mengapa perlu rakyat bangun memberontak dan memprotes terhadap kerajaan yang mana akhirnya aktiviti ini boleh mengancam keselamatan negara?

Tidak secara langsung, perkara-perkara yang dibincangkan di atas dapat menepati kehendak maqasid al-shariah (tujuan Shariah) itu sendiri iaitu:

1)        Menjaga agama;

2)        Menjaga nyawa;

3)        Menjaga akal;

4)        Menjaga keturunan;

5)        Menjaga harta.

Menjaga keselamatan awam (preventing harm to society) dan menjalankan keadilan adalah juga merupakan suatu maqasid al-shariah juga. Justeru, setiap tujuan-tujuan shariah ini perlu dipelihara dan diamalkan oleh pihak kerajaan.

Pada hemat penulis dalam menentukan tempoh penyiasatan, tahanan untuk penyiasatan dan penahanan itu sendiri sama ada dalam tempoh 24 atau 48 jam, 60 atau 20 hari, 2 tahun atau 5 tahun dan sebagainya, ini tertakluk kepada keperluan (necessity) dan amalan terbaik (best practices and according to customs (uruf)) dan kemampuan sumber manusia. Tempoh-tempoh ini mungkin berubah dari masa ke semasa menurut keadaan. Hal ini boleh disamakan dengan perbezaan mazhab fiqh Islam dalam menentukan tempoh khiyar (option) dalam jual beli dan soal tempoh haid seseorang wanita sebelum seseorang wanita itu dianggap suci dan boleh menjalankan tanggungjawab agamanya.  Adakah perbezaan mazhab ini salah? Ia tidak salah kerana ini yang dikatakan ijtihad dalam Islam dan diiktiraf setiap perbezaan ini dengan syarat pendapat-pendapat ini disokong dengan hujah-hujah dan dalil-dalil yang jelas. Lantaran itu, perlu bagi pihak berwajib untuk membuat kajian secara empirikal mengenai tempoh-tempoh dan amalan-amalan terbaik (arjah) dan popular (jumhur) dalam soal preventive detention bagi menjaga keselamatan negara dan menghormati hak-hak asasi manusia sebagaimana yang diamalkan oleh standard dunia yang boleh diguna pakai di Malaysia, tertakluk kepada aspek-aspek dan pertimbangan-pertimbangan yang telah ditekankan di atas.

Perkara pokok yang perlu diberi perhatian dalam penggubalan undang-undang keselamatan bagi menggantikan ISAdan akta-akta berkaitan adalah balance atau imbangan antara ’keselamatan negara’, ’hak-hak asasi manusia’, ’Perlembagaan Malaysia’, ’nilai’, ’budaya’, ’agama’ dan ’sejarah’ Malaysia. Soal-soal lain adalah berbentuk cabang sahaja – isu ikhtilafiah. Jangan pula kita berpecah-belah mengenai isu ikhtilafiah sehingga melupakan perkara-perkara pokok iaitu keselamatan negara, pembangunan negara, kesejahteraan rakyat, kesinambungan jatidiri budaya, agama, nilai negara-bangsa, sejarah dan Perlembagaan negara.  Bidalan ada menyatakan ’kesemua arah haluan kecemerlangan ini akan hanya berjaya melalui semangat bersatu-padu, kerjasama, hidup umpama aur dengan tebing, bila bergerak umpama air yang menerobos laluan, bila berkumpul umpama gunung yang kukuh, bila menyuarakan kebenaran dan keadilan seumpama gunung berapi yang melahirkan lahar cinta dan rindunya kepada bumi semesta’.

Akhir kalam, selain kupasan perbincangan atas, hendaklah kita selalu berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar negara Malaysia yang kita cintai ini terus berjaya di persada nusantara dan pentas dunia dalam segenap lapangan kehidupan.  Ini adalah kerana segala kejayaan dan kecemerlangan tidak akan dapat dikecapi melainkan dengan izinNya jua.

2 responses to “ISU PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MENGGANTIKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI TAHUN 1960 (ISA), AKTA-AKTA PENGISYTIHARAN DARURAT, AKTA BUANG NEGERI 1959 (SEMAKAN 1972) DAN AKTA KEDIAMAN TERHAD 1933 – Bahagian Tiga

  1. JADI ADAKAH PENULIS RASA PEMANSUHAN ISA NI BERI KEBAIKAN ATAU KEBURUKAN PADA NEGARA DAN MASYARAKAT?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s