Projek Rumah Terbengkalai – Meru, Klang, Selangor – Jawapan

Ini adalah jawapan saya mengenai email tersebut:

“Waalaykum salam,

Saya bersimpati atas nasib malang yang menimpa saudara dalam projek perumahan terbengkalai. Setelah membaca email saudara, terdapat beberapa poin penting yang saya perlu tekankan.

1) Sekiranya pemaju perumahan tuan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pemaju tersebut tidak boleh dikenakan tindakan oleh KPKT. Contoh pemaju yang tidak tertakluk kepada KPKT adalah pemaju koperasi dan pemaju perbadanan negeri. Saudara boleh membuat carian di KPKT di Putrajaya bagi memastikan sama ada pemaju asal itu tertakluk kepada KPKT. Sekiranya tertakluk, para pembeli boleh membuat aduan kepada KPKT agar KPKT mengambil tindakan ke atas pemaju tersebut. Sekiranya pemaju itu tidak tertakluk kepada KPKT, para pembeli boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas pemaju asal itu berdasarkan kontrak jual beli. Para pembeli boleh memohon mahkamah agar membatalkan perjanjian jual beli dan mendapatkan gantirugi dan lain-lain ekuiti (keadilan) daripada pemaju asal itu kerana kemungkiran kontrak.

2) Sekiranya pemaju perumahan tersebut tertakluk kepada bidang kuasa KPKT, namun gagal untuk mendapatkan lesen pemaju perumahan, pemaju tersebut boleh dikenakan tindakan oleh KPKT kerana kegagalan untuk mendapatkan lesen dan kedua, kerana kesalahan menyebabkan projek perumahan tersebut terbengkalai

3) Pada pandangan saya, rujukan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pihak tuan. Ini adalah kerana, pertama, sekiranya pemaju tersebut tertakluk kepada KPKT, LPHS tidak ada bidang kuasa. Sekiranya pemaju itu tidak tertakluk kepada KPKT, LPHS juga tidak mempunyai bidang kuasa, kerana tiada perhubungan dengan pemaju tersebut. Perhubungan hanya antara para pembeli dan pemaju itu sahaja berdasarkan kontrak jual beli yang telah ditandatangani. Dalam hal ini, pihak berkuasa negeri juga tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Mungkin melalui proses politik dengan mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak berkuasa negeri dan kerajaan persekutuan, projek perumahan perumahan terbengkalai tuan dapat dibaik pulih.

4) Alhamdulillah, terdapat pemaju yang berhasrat untuk membaik pulih projek tersebut. Pada pandangan saya, permintaan pemaju baru itu agar para pembeli membuat top-up sejumlah RM 30,000.00 setiap seorang adalah berpatutan kerana pemaju tersebut perlu tertakluk kepada syarat-syarat baru yang akan dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah, Majlis Perbandaran), pihak berkuasa tanah (pejabat tanah), agensi-agensi teknikal (TNB, pihak berkuasa air dan sebagainya) dan pihak berkuasa perancang (Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Majlis Perbandaran). Tambahan pula harga barang pembinaan kini meningkat. Pemaju tersebut mungkin mendapat sedikit keuntungan.

5) Namun begitu, perlu ada perjanjian baru antara pemaju penyelamat dan para pembeli bagi menentukan hak-hak dan tanggungjawab pihak masing-masing.

6) Pemaju terbengkalai itu juga perlu memberi kebenaran membenarkan pemaju penyelamat menyelesaikan kerja baik pulih. Sekiranya tidak, perintah mahkamah perlu diperoleh, bagi memberi kuasa kepada pemaju pemulih untuk menjalankan tugasnya.

7) Risiko projek perumahan itu akan menjadi terbengkalai di bawah kendalian pemaju penyelamat mungkin ada. Namun risiko ini boleh dikawal. Contohnya, pembayaran wang kepada pemaju penyelamat hanyalah akan dibuat setelah pihak pembeli berpuas hati terhadap setiap peringkat pembinaan dengan disokong oleh sijil arkitek dan jurutera. Tandatangan para pembeli dikehendaki sebelum boleh bayaran berperingkat dibuat kepada pemaju penyelamat.

8) Para pembeli boleh mengambil tindakan ke atas pemaju asal. Tindakan ini untuk membatalkan perjanjian jual beli dengan pemaju asal dan mendapatkan gantirugi daripasa pemaju asal tersebut.

9) Sekiranya para pembeli mendapat pinjaman perumahan secara Islam – Bay’ Bithaman al-Aji (BBA)l, para pembeli, pada pandangan saya, boleh mengambil tindakan ke atas bank Islam tersebut agar menyiapkan projek itu. Ini adalah disebabkan, Bank Islam itu menjadi ‘pemilik’ rumah itu menurut Property Sale Agreement (PSA) dan Property Purchase Agreement (PPA). Pemilik bertanggungjawab untuk menyiapkan rumah itu.

Sekian,

Selamat maju jaya dalam perjuangan tuan.

Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ACIS

Institute for Governance, Innovation and Law

UUM College of Law, Government and International Studies

Universiti Utara Malaysia

Sintok

Kedah Darul Aman

hp:…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s