Kuasa Autonomi di Universiti Awam: Suatu Pandangan

Call for Master of Law and Phd in Law Studentspintu gerbang Universiti MalayaAutonomi bermaksud pemerintahan (pentadbiran, pengurusan) sendiri, hak mengurus pemerintahan(pentadbiran dsb) sendiri (tanpa penguasaan atau pengendalian oleh pihak lain)(Kamus Dewan, Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). Begitu juga apabila melibatkan universiti awam (‘UA’) di Malaysia. Kuasa autonomi UA bermaksud kuasa pemerintahan sendiri yang diberikan oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (‘KPT’) adalah bertujuan untuk membolehkan UA bergerak dengan lebih bebas dan cepat melaksanakan tanggungjawabnya, berdaya saing dan inovatif, proaktif dan berkaliber berdasarkan kepada peruntukan yang termaktub di dalam Akta Universiti dan Kolej 1971 (Akta 30)(AUKU), Akta Badan Berkanun (Disiplin and Surcaj) 2000(Akta 605), Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240) dan Perlembagaan Universiti. Di samping itu, melalui pendekatan ini, bebanan kerajaan pusat dapat dikurangkan khususnya kewangan dan tanggungjawab pembangunan dan tadbir urus. Namun begitu, kuasa autonomi atau penuruan kuasa yang dinyatakan dalam AUKU dan Perlembagaan UA itu masih belum sepenuhnya diberikan kepada UA kerana kekangan yang dihadapi oleh UA masing-masing melibatkan soal urus tadbir, kewangan, sumber manusia, pengurusan akademik dan pengambilan pelajar. Hanya UA yang telah terbukti berupaya untuk melaksanakan sebahagian besar kuasa autonomi yang dipersetujui oleh Kerajaan Pusat (seperti KPT, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Kerjaraya (JKR) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU)) bertunjangkan kepada peruntukan AUKU, Perlembagaan UA dan dasar kerajaan pusat telah diberikan mandat untuk berautonomi. Antara manfaat kepada kerajaan pusat adalah UA dapat memacu pembangunannya, khususnya dalam memartabatkan UA di persada antarabangsa, pemerolehan harta dan penjanaan sumber kewangan, menjalankan perniagaan, pembelian peralatan dan perkhidmatan, pembangunan fizikal UA, perjawatan dan naik pangkat dan pemerolehan tenaga pengajar akademik yang berkaliber/berkualiti dan dasar pemilihan pelajar secara lebih baik tanpa perlu tertakluk kepada pengawalan ketat oleh kerajaan pusat. Kendatipun begitu, kerajaan pusat masih lagi bertanggungjawab dalam memantau kuasa autonomi yang dimiliki oleh UA. Ini termasuk kewajipan UA untuk memakai semua pekeliling perbendaharaan dalam hal pengurusan kewangan dalaman, pemakaian semua pekeliling perkhidmatan awam. Namun begitu, ruang lingkup kuasa autonomi akan diperluaskan lagi berdasarkan keperluan dan kemampuan UA tersebut melalui proses rundingan. Dengan perkataan lain, kuasa autonomi dan penurunan kuasa yang dinikmati oleh UA ini masih tertakluk juga kepada amalan kebertanggungjawaban, ketelusan, akauntabiliti dan nilai serta kualiti yang dibelanjakan dalam semua urusan yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

Pada pandangan penulis, kuasa autonomi ini adalah kuasa yang telah wujud secara semula jadi berdasarkan kepada peruntukan AUKU dan Perlembagaan UA. Namun disebabkan oleh kekangan-kekangan yang dihadapi oleh UA, kuasa itu masih belum diberikan sepenuhnya dilaksanakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi berdasarkan kepada peruntukan di dalam AUKU dan Akta Badan Berkanun kepada semua UA. AUKU dan Perlembagaan Universiti menyatakan semua tanggungjawab dan had kuasa setiap UA dan Pihak Berkuasanya. Kuasa yang sebenar adalah terletak kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Pihak Berkuasa Universiti berlandaskan kepada peruntukan ditetapkan di bawah AUKU dan Perlembagaan UA.

Sementara itu pihak Kementerian Pendidikan Tinggi adalah berkuasa penuh ke atas UA. Kuasanya juga dinyatakan di dalam AUKU. KPT boleh campurtangan ke atas pentadbiran UA, sekiranya perlu, berdasarkan peruntukan yang dinyatakan di bawah AUKU dan Perlembagaan UA.

Di sebalik kuasa autonomi yang diberikan, berikut adalah beberapa berapa isu yang timbul yang perlu difikirkan bersama, pada pandangan penulis, bagi memberi makna yang sepatutnya kepada kuasa autonomi UA itu sendiri demi kemanfaatan kerajaan pusat, UA dan staf UA. Isu-isu itu adalah pada hemat penulis, adalah:

  • Pekeliling-pekeliling kerajaan pusat diguna pakai tanpa melihat kepada kesesuaian UA dan hal domestik UA itu sendiri dan tanpa dirujuk kepada orang yang berkepentingan/pemegang taruh UA, contohnya pekeliling-pekeliling tidak dibincangkan terlebih dahulu bersama pemegang taruh seperti staf akademik dan staf pentadbiran;
  • Keupayaan UA untuk menambah peruntukan kewangan bagi mengurus UA melalui peningkatan yuran pengajian. Contohnya melalui kenaikan yuran untuk program sarjana muda perlu mendapatkan kelulusan kerajaan pusat. Apa yang dimaklumkan, yuran pengajian peringkat pasca siswazah boleh dinaikkan khususnya kepada pelajar luar Negara. Namun begitu, kesannya ini boleh menyebabkan pelajar luar Negara tidak berminat untuk melanjutkan pengajian di Malaysia kerana kos pengajian meningkat. Dengan itu UA perlu bijaksana dalam menangani isu ini iaitu menambah bilangan pelajar antarabangsa, menaikkan yuran pengajian tetapi tidak membebankan pelajar antarabangsa serta memastikan kualiti pendidikan tinggi di UA terus meningkat khususnya melalui sistem ranking dunia QS dan mengadakan kerjasama akademik dan profesional dengan badan-badan profesional dan universiti-universiti tersohor di luar Negara;
  • Sekiranya UA berupaya untuk menjana peruntukan kewangannya tersendiri sepenuhnya sehingga boleh berdikari tanpa memerlukan sumber kewangan kerajaan pusat, apakah masih perlu tertakluk kepada arahan KPT dan kerajaan pusat sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam AUKU?;
  • Bagaimana pula dengan skim perkhidmatan di UA sekiranya AU itu boleh berdiri sendiri/separa boleh berdiri sendiri? Adakah masih perlu tertakluk kepada skim perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)? Atau adakah UA itu boleh mempunyai skim perkhidmatan dan tangga gaji sendiri atau perlu UA-UA mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatannya sendiri?;
  • Antara kesan-kesan sampingan daripada pelaksanaan kuasa autonomi ini adalah pengurangan kawalan dan pemantauan kerajaan pusat ke atas UA berkenaan yang menggugat keutuhan tadbir urus UA berkenaan. Sebagai contohnya ketirisan dalam melaksanakan tatacara pengurusan tatatertib staf dan kenaikan pangkat staf; dan,
  • Isu LPU yang kurang dinamik, proaktif, kreatif and inovatif dalam menyediakan dasar dan hala tuju UA termasuk dalam menyediakan pelan strategik unversiti dan soal hal kebajikan staf UA. Antara kesannya adalah kebajikan pekerja UA terabai contohnya dalam soal kenaikan pangkat dan kebajikan. Hak-hak pekerja UA juga tertakluk kepada arahan LPU dan tidak menikmati keistimewaan seperti yang diperoleh oleh penjawat perkhidmatan awam melalui Perintah-perintah Am (General Orders). Contoh yang jelas adalah kemudahan rawatan perubatan kepada pekerja pencen universiti awam di mana pembayaran kos rawatan adalah tertakluk kepada keupayaan kewangan sesebuah universiti awam itu. Sekiranya universiti awam itu tidak mampu, pekerja pencen mereka akan terpaksa menanggung kos perbelanjaan perubatan mereka sendiri. Ini berlainan sama sekali dengan faedah rawatan perubatan yang dinikmati sepenuhnya oleh penjawat-penjawat awam  kerana kos rawatan dan perubatan ditanggung sepenuhnya oleh JPA (Zakiah Ishak lwn Majlis Daerah Hulu Selangor [2005] 4 CLJ 77; [2005] 6 MLJ 517 dan Dr Chandra Muzaffar lwn. Universiti Malaya [2002] 5 MLJ 369).

Pada pandangan penulis dalam melaksanakan UA berautonomi ini, adalah perlu peruntukan-peruntukan khusus mengenai autonomi di dalam AUKU dipinda bagi memberi kejelasan dan mengukuhkan kerangka dan kelicinan pelaksanaan autonomi UA secara adil.

Peruntukan-peruntukan baharu itu perlu memberi ruang, ‘engagement’ dan platform yang secukupnya kepada pemegang taruh UA contohnya staf akademik dalam membahas, menjana dan membincangkan idea dan pendekatan baharu melalui konsep ‘bottom up’ di setiap peringkat pembuat dasar dan Pihak Berkuasa UA dalam mewujudkan dasar-dasar yang mesra UA dan memberi keuntungan kepada kerajaan, UA dan pemegang taruh UA seperti staf akademik dan sokongan.

Antara pendekatan lain adalah perlunya perbincangan pelbagai hala dan ‘engagement’ berterusan antara UA, KPT dan persastuan staf akademik bagi merealisasikan idealisme autonomi UA yang diidam-idamkan di Malaysia.

Melalui cara ini, suasana ‘situasi menang-menang’ akan dapat dicapai sekali gus memberi manfaat besar kepada Negara, UA dan staf UA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s