Category Archives: Legal History

ISU TANAH KERETAPI TANAH MELAYU BERHAD (KTMB) DI SINGAPURA: SUATU PANDANGAN

KTMB Singapore B

Latar belakang

Pemeliharaan hubungan harmoni dengan negara-negara lain khususnya negara-negara berjiran adalah satu aspek yang sangat dititikberatkan di dalam dasar luar Malaysia. Berasaskan pendekatan berbaik-baik dengan negara lain di samping bersedia menjalinkan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang sudi bekerjasama, Malaysia sentiasa memilih untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dengan negara lain melalui rundingan aman. Tambahan pula jika pertikaian tersebut melibatkan negara-negara kejiranan serantau Asia Tenggara atau ASEAN. Walau bagaimanapun, dasar luar ini sering mengalami cabaran. Hubungan Malaysia dan Singapura adalah antara yang sering dilanda kontroversi. Isu-isu bekalan air, penambakan laut, Pulau Batu Putih dan penggunaan ruang angkasa, adalah isu-isu yang mengganggu hubungan baik kedua-dua negara.

Konflik hubungan Malaysia–Singapura mempunyai faktor kesejarahan yang menyumbang. Malaysia dan Singapura yang dahulunya dikenali sebagai Temasik berada di dalam gugusan kepulauan Melayu, pernah diperintah di bawah sistem pemerintahan kesultanan Melayu. Kedua-dua negara ini kemudiannya jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur dan berada di bawah pemerintahan Kerajaan Inggeris. Pada tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah memperoleh kemerdekaan dan ketika itu Singapura adalah sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu. Konflik antara kedua-dua negara bermula pada tahun 1963, yang diakhiri dengan Singapura membuat keputusan untuk keluar daripada Malaysia.  Bermula dari tarikh itulah timbul isu-isu yang berbangkit daripada sejarah tersebut. Tambahan pula kedudukan geografi kedua-dua negara yang hanya dipisahkan oleh Selat Johor atau Selat Tebrau yang sempit, menyaksikan tuntutan bertindih adalah isu yang sememangnya dijangkakan.

KTMB Singapore DSalah satu isu yang menimbulkan kontroversi di dalam hubungan kedua-dua negara ialah isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Republik Singapura. Tanah pajakan kekal 999 tahun itu diperoleh melalui perjanjian di antara Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Kerajaan Melayu Bersekutu yang dikenali sebagai Perjanjian Tahun 1918. Perjanjian ini telah digazetkan dalam The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380) pada tahun 1918. Walau bagaimanapun, hak ke atas tanah tersebut mempunyai hak kegunaannya terhad kepada operasi keretapi dan ia kekal milik Malaysia selagi operasi keretapi berjalan (Jasin, 2010 dan seksyen 2, 3, 4, dan 5 daripada The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380) ).

KTMB Singapore CMenurut perjanjian tahun 1918 ini, Kerajaan Jajahan Negeri-negeri Selat (Government of the Colony of the Straits Settlement) yang berpengkalan di Singapura, bersetuju memindah milik perkhidmatan keretapi yang dikenali sebagai Keretapi Singapura (Singapore Railway) kepada Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan bayaran berjumlah RM 4,136,000.00. Terminal stesyen keretapi ini terletak di Pasir Panjang dan Woodlands di Singapura. Menurut seksyen 1 daripada The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380) keretapi Singapura berserta semua tanah yang berkaitan dengan keretapi Singapura, termasuklah rel-rel, jambatan-jambatan, pagar-pagar, dinding-dinding batu, stesyen-stesyen, pejabat-pejabat, tempat tinggal pekerja-pekerja, gudang-gudang, woksyop-woksyop, kilang-kilang, mesin-mesin, talian telefon dan telegraf, dermaga-dermaga dan lain-lain bangunan yang dibina untuk tujuan keretapi Singapura menjadi milik Kerajaan Melayu Bersekutu.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, projek ini akan menguntungkan Malaysia. Katanya:

‘…Malaysia akan menikmati keuntungan dan faedah sungguhpun tanah-tanah itu diserahkan kepada Singapura hasil persetujuan bersama dalam perjanjian bertulis…’

‘Malaysia akan mendapat manfaat  menerusi 60 peratus pegangannya dalam M-S Pte Ltd dengan membangunkan bidang tanah bernilai tinggi di Marina South…’

‘Selain Marina South, Malaysia turut mendapat keuntungan dalam pembangunan tanah di Ophir-Rochor, sebuah kawasan pertumbuhan baru…’

‘…nilai pembangunan kasar bagi pembangunan yang akan dilaksanakan oleh M-S Pte Ltd dianggarkan berjumlah kira-kira RM 27 bilion.’

‘Malaysia juga menerima komitmen kukuh untuk pembangunan rangkaian pengangkutan, Rapid Transit System (RTS) antara Iskandar Malaysia dan Singapura…RTS akan meningkatkan nilai hartanah di Iskandar Malaysia dan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong asing ke Malaysia…bagi sektor perniagaan pula RTS menyediakan insentif tambahan kepada syarikat-syarikat asing untuk beroperasi di Iskandar Malaysia…’

‘Kerjasama itu juga akan membantu meningkatkan sentimen perniagaan syarikat-syarikat Singapura serta keyakinan pelabur…’

Masalah

Kontroversi bermula apabila Malaysia dan Singapura menandatangani Perkara-perkara Yang Dipersetujukan atau Points of Agreement (POA) pada tahun 1990.  Di bawah POA tersebut antara lain, Kerajaan Malaysia bersetuju untuk menyerahkan balik tanah milik KTMB dan aset-aset berkaitan kepada Kerajaan Singapura. Malaysia perlu memindah stesen KTMB di Tanjong Pagar sama ada secara berperingkat ke Bukit Timah dan kemudian ke Woodlands atau berpindah terus ke Woodlands. Dengan perkataan lain, KTMB tidak lagi akan menjalankan perkhidmatan keretapi di Singapura sebagaimana yang dinyatakan dalam The Singapore Railway Transfer Ordinance (Chapter 380). Tujuan pengambil-alihan tanah dan aset-aset KTMB adalah untuk memajukan tanah-tanah tersebut. Kerajaan Singapura dan Kerajaan Malaysia bersetuju untuk menubuhkan suatu syarikat usahasama yang dinamakan M-S Pte Ltd (gabungan antara syarikat Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Ltd di mana Khazanah memegang 60% pegangan dan Temasek menguasai 40% saham) bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah. Selain daripada itu, Kerajaan Singapura bersetuju untuk menggantikan tanah-tanah KTMB (di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah milik KTMB di Bukit Timah) yang diambil alih untuk tujuan pemajuan dengan empat bidang tanah di Marina South yang dikenali sebagai TS30-361T, TS30-362A, TS30-363K dan TS30-364N serta dua bidang tanah di Ophir-Rochor yang dikenali sebagai TS13-1115N danTS13-1116X.

KTMB Singapore E

Konflik ini boleh dikatakan menjadi serius apabila ia menyebabkan wujud dua kaunter imigresen di tempat berbeza bagi kedua-dua negara. Pos imigresen Malaysia di Tanjong Pagar dan pos imigresen Singapura terletak di Woodlands. Akhirnya pada 27 Mei 2010, Malaysia bersetuju untuk memindahkan stesen KTMB ke Woodlands pada 1 Julai 2011 akan datang.

Namun apa yang menjadi kegusaran adalah caj pembangunan (development charge) besar yang perlu ditanggung oleh syarikat usahasama (M-S Pte Ltd) dalam memajukan tanah-tanah milik KTMB itu (Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands). Tambahan pula, perkara ini tidak dinyatakan secara jelas dalam POA 1990 tentang isu–siapakah yang berketanggungan untuk membayar caj pembangunan yang besar ini? Untuk menyelesaikan masalah ini kedua-dua buah negara bersetuju untuk menyelesaikan isu ini melalui Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (International Arbitration).

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan tanah ganti pemulangan tanah KTMB kepada kerajaan Singapura melibatkan bayaran caj pembangunan tanah gantian itu ke Timbang Tara Antarabangsa. Namun begitu isu ini masih “hangat” di Malaysia apabila Kerajaan Malaysia dikatakan “menjual” tanah milik Malaysia di Singapura. Apatah lagi kehilangan hak dan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih masih menjadi igauan dan terngiang-ngiang di hati sanubari rakyat Malaysia.

Namun setakat Oktober 2023, tiada pula kedengaran, dan kelihatan projek dan program yang dimaklumkan di atas di bawah operasi M-S Pte Ltd berlaku…

KTMB Singapore A

Persoalan-persoalan

  • Mengapa perlu Malaysia bersetuju dengan pertukaran tanah KTMB itu sedangkan pajakan melalui perjanjian 1918 menyatakan pajakan itu untuk jangka masa 999 tahun?
  • Mungkinkah ini disebabkan adanya tawaran penggantian tanah-tanah lain di Singapura, menyebabkan Malaysia terus bersetuju untuk ’membatalkan’ perjanjian 1918 walaupun tempoh 999 tahun itu belum tamat?
  • Tetapi walaupun pada dasarnya Singapura bersetuju untuk menggantikan dengan tanah-tanah lain, adakah tanah-tanah gantian itu sama nilai dengan tanah-tanah KTMB daripada pelbagai segi?
  • Tidakkah dengan tindakan Singapura mengenakan ’kos pembangunan’ yang tinggi terhadap tanah-tanah gantian itu ’menipu’ Malaysia kembali? Seolah-olah Malaysia perlu ’membeli’ tanah-tanah itu? Sudahlah tanah KTMB hilang, tanah-tanah gantian baru itu dikenakan bayaran yang tinggi. Apakah muslihat Singapura? Bona fide atau sebaliknya?
  • Adakah terma-terma ini jelas dinyatakan dalam POA 1990 dan ’perjanjian’ 2010. Adakah semua terma-terma tersurat dan tersirat ’didedahkan’ sepenuhnya (full disclosure) sebelum Malaysia bersetuju untuk menyerahkan tanah-tanah KTMB?
  • Sekiranya terdapat ’non disclosure’, adakah Malaysia mempunyai kausa tindakan terhadap Singapura (cause of action)?
  • Apa kata kalau keputusan Tribunal Timbang Tara Antarabangsa tidak memihak kepada Malaysia?
  • Adakah bijak Malaysia dalam menerima penggantian tanah-tanah itu?

Sumber maklumat dan gambar

https://ms.wikipedia.org/wiki/Stesen_keretapi_Tanjong_Pagar (accessed on 28 March 2020).

http://kedahkekl.blogspot.com/2010/06/kisah-sebenar-tanah-ktmb-di-singapura.html (accessed on 28 March 2020).

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/12/06/najib-bukan-saya-jual-tanah-ktm-di-tanjung-pagar/ (accessed on 28 March 2020).

http://www.wazariwazir.com/2015/01/31/kembara-bersama-keluarga-ke-singapura-singapore/ (accessed on 28 March 2020).

https://suara.tv/27/12/2017/tanah-pajakan-ktm-di-singapura-kejayaan-najib-dan-kegagalan-mahathir/ (accessed on 28 March 2020).

https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2011/11/03/pembangunan-tanah-milik-ms-pte-ltd-kini-pada-peringkat-perancangan (accessed on 4 October 2023).